Mr NuFF

Saturday, December 18, 2010

Bakat baru Adik-Adikku


PARA peserta Adik-Adikku musim kedua, tenaga pengajar, krew program dan pihak pengurusan atasan Jakim diperkenalkan sempena majlis pelancarannya baru-baru ini.


RANCANGAN Adik-Adikku yang berlangsung 18 Mac lalu telah mencetuskan satu fenomena baru dalam penerbitan program realiti televisyen tempatan.
Lebih membanggakan, apabila program musim pertama berkenaan berjaya merekodkan jumlah penonton hampir sejuta orang sekali gus meletakkan Adik-adikku sebagai program paling popular di TV1 bagi minggu ke-11 2010.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, berikutan sambutan yang hangat dan komen-komen positif yang diterima, Jakim dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia telah meneruskan pencarian bakat Adik-Adikku bagi musim kedua.
Menurutnya, program tersebut dilihat sebagai alternatif kepada kanak-kanak yang tidak berkonsepkan hiburan semata-mata kerana ia terbukti mampu mencungkil bakat, karisma, kepimpinan dan membentuk keyakinan diri peserta melalui persembahan mereka di pentas.
"Bilangan peserta yang menghadiri uji bakat bertambah dan pihak kami hanya memilih 16 peserta berbanding 20 peserta pada musim pertama.
"Anak-anak yang terpilih ini akan dididik dan diasah bakatnya selama sebulan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi bermula 27 November," katanya kepada Kosmo! selepas Majlis Pelancaran Rancangan Realiti Adik-Adikku musim kedua di ILIM baru-baru ini.
Tambahnya, peserta Adik-Adikku merupakan pendakwah masa depan. Oleh itu, bakat sedia ada dalam diri mereka perlu digilap bagi menjadi lebih baik sejajar dengan objektifnya untuk memaparkan karisma kanak-kanak, mencungkil bakat selain membentuk jati diri dan istiqamah dalam kepimpinan kanak-kanak.
Majlis tersebut turut memperkenalkan sebanyak 30 penaja yang telah bersetuju memberikan tajaan hadiah berbentuk wang tunai, pakej umrah, pakej pelancongan, komputer riba, buku-buku dan barangan kepada pemenang program realiti Adik-Adikku serta menaja pelbagai jenis barangan dan pakaian sepanjang tempoh sesi peserta di akademi.
Seramai 16 peserta terbaik daripada 400 calon yang mengikuti sesi uji bakat di 14 lokasi di seluruh Malaysia telah dipilih.
Para peserta berumur lapan hingga 12 tahun dinilai oleh juri dari segi kepetahan berpidato, bertaranum, mengalunkan azan (peserta lelaki) dan bernasyid.
Selain itu, ada peserta yang menampilkan kelainan dengan membuat persembahan berzanji, marhaban dan pidato untuk menambat hati juri.
Konsep kekal
Program musim kedua ini masih meneruskan konsep musim pertama iaitu berteraskan hiburan, pendidikan dan riadah.
Berbanding program-program realiti yang lain, peserta program realiti Adik-Adikku yang tersingkir dibenarkan untuk mengikuti semua aktiviti sepanjang berada di akademi sehingga tamat.
Para peserta juga didedahkan dengan dua aktiviti riadah yang sering diamalkan oleh Rasulullah SAW iaitu berkuda dan memanah.
Kesemua peserta akan dibimbing oleh guru atau Murabbi. Setiap Murabbi perlu membimbing empat peserta. Antara Murabbi yang terlibat pada musim kali ini ialah Ustaz Zamri Zainuldin, Ameer Azeezy Tuan Abdullah, Badrul Sani Baharudin dan Ustazah Asni Abu Mansor di bawah pimpinan Ra'es, Farihin Abdul Fatah.

KANAK-KANAK diajar dengan pelbagai ilmu untuk mengembangkan bakat, karisma dan kefahaman mereka mengenai jati diri serta istiqamah dalam kepimpinan.


Tentunya kesemua 16 peserta yang terpilih tidak sabar untuk bertanding dalam program Adik-Adikku. Begitu juga dengan Nur Jannati Syakirin Ramli, 10, dan Muhammad Amirul Munir Azlin, 9 tahun.
Nur Jannati anak keempat daripada lima beradik dari Sekolah Kebangsaan Trolak Selatan, Perak tidak percaya bahawa dirinya terpilih untuk menyertai 15 peserta yang lain.
"Ramai peserta berbakat yang mengikuti uji bakat. Tidak sangka pula saya terpilih selepas bercerita mengenai Siti Hajar Ibu Mithali," katanya yang sudah mula bercerita seawal usia enam tahun atas galakan ibunya.
Muhammad Amirul yang merupakan anak tunggal pula sanggup berjauhan dengan kedua-dua ibu bapanya demi mencari ilmu di ILIM untuk mempersiapkan diri.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Awan, Bidong, Kedah itu mendapat sokongan penuh kedua-dua ibu bapanya selain guru dan rakan-rakannya di sekolah.
Program Adik-Adikku musim kedua lebih istimewa berbanding musim pertama kerana penonton dapat melihat sendiri penglibatan dan bakat peserta musim pertama kerana mereka terlibat secara langsung.
Program tersebut bakal menemui penonton di RTM 1 mulai 18 Februari depan, pukul 6.30 petang.http://www.youtube.com/watch?v=buLmgzFXZX4

No comments:

Post a Comment